Selasa, 07 April 2015

Bilal Bin Rabah RA


Bilal Bin Rabah RA

Nama Bilal cukup terkenal di kalangan Umat Islam. Setiap kali azan dilaungkan, segera ingatan kita tertumpu pada “Bilal”. Biarpun tukang azan dipanggil Muazzin, namun yang lebih sering kita sebutkan adalah Bilal. Sungguh, namanya akan terus abadi dalam sebutan Umat sehingga usia dunia berakhir.
Beliau merupakan seorang hamba berasal daripada Habsyah (Ethopia) dan seorang muazzin pertama Rasulullah SAW, ketika mula-mula azan disyari’atkan.
Bila disebut nama Abu Bakar, maka Umar RA akan berkata, “Abu Bakar adalah pemimpin kita, yang telah memerdekakan pemimpin kita”, yang dimaksudkan beliau adalah Bilal. Sekalipun mendapat jolokan tersebut daripada Umar, Bilal tetap dengan kerendahan hatinya, “Saya hanyalah seorang Habsyah..dan kelmarin saya seorang hamba sahaya!”
Siapa sangka seorang kulit hitam berbangsa Habsyah, yang merupakan seorang yang berketurunan hamba, akan menjadi seorang yang sangat dekat dengan Rasulullah dan suaranya menggoncang jiwa-jiwa yang mendengarnya, dengan laungan azan yang sungguh menyentuh.
Tuannya bernama Umayyah Bin Khalaf, berasal daripada Bani Jumah dan merupakan salah seorang yang terkemuka dalam kabilahnya. Ketika Islam mula-mula disebarkan oleh Rasulullah SAW, Umayyah dan kawan-kawannya selalu berkumpul untuk mengeluarkan kata-kata berbisa terhadap Rasulullah dan melemparkan fitnah-fitnah dan cemuhan. Dalam pada itu, mereka tetap pula menceritakan tentang akhlak Rasulullah yang mulia, sehingga sebahagian mereka berkata:
“Tidak pernah Muhammad SAW berdusta atau menjadi tukang sihir, tidak pula gila atau berubah akal, bagaimanapun kita terpaksa menuduhnya demikian, demi untuk membendung orang-orang dari berlumba-lumba memasuki agamanya!”
Segala perbincangan mereka didengar oleh Bilal, dan antara yang mendorong mereka untuk menentang dan memusuhi Rasulullah SAW adalah kesetiaan terhadap kepercayaan nenek moyang dan kekhuatiran merosotnya kemuliaan Quraisy. Pada waktu itu, Mekah menjadi pusat agama berhala, pusat Ibadah dan upacara haji di seluruh jazirah Arab. Di samping itu juga mereka turut merasa dengki kerana Rasul dibangkitkan daripada Bani Hasyim, bukan daripada kalangan mereka.
Dipimpin oleh hidayah Allah, Bilal bertemu dengan Rasulullah SAW dan menyatakan keislamannya. Berita tersebut tidak berapa lama kemudian tersebar sehingga sampai ke pengetahuan Umayyah bin Khalaf. Itu adalah sebuah tamparan pahit dan menghina bagi tokoh Bani Jumah ini. Lalu keperitan Bilal dalam mempertahankan keimanannya pun bermula dengan penyeksaan yang dahsyat!
Beliau dibaringkan di tengah padang pasir yang sangat panas, dalam keadaan tanpa pakaian. Lalu dihempap batu besar yang panas laksana bara ke atas tubuhnya. Sungguh, tidak ada daripada kita yang dapat menandingi kehebatan seksaan yang dikenakan ke atas Bilal, hanya kerana dia beriman kepada Allah dan Rasul SAW.
Dipaksa Bilal oleh para penyeksanya untuk menyebut nama-nama Tuhan berhala mereka. Namun ucapan Bilal yang terkenal itu tetap tak lekang daripada bibir beliau, “Ahad..Ahad..” Tatkala Umayyah Bin Khalaf hampir berputus asa menyeksa Bilal, diikatnya leher Bilal dan disuruh kanak-kanak mengheretnya sekeliling kota Mekah.
Seksaan Bilal berterusan, dan keteguhan hatinya dalam mempertahankan iman tetap tidak berubah. Sehingga para penderanya hampir-hampir putus asa, namun tetap diteruskan kerana tidak mahu kesombongan mereka dikalahkan seorang hamba sahaya berkulit hitam. Akhirnya datanglah Abu Bakar membebaskan Bilal, kata Abu Bakar, “Apakah kalian sekalian akan membunuh seorang lelaki hanya kerana mengatakan bahawa Tuhanku ialah Allah SWT?! Terimalah ini untuk tebusannya, lebih tinggi dari harganya dan bebaskan ia!”
Umayyah menerima tawaran Abu Bakar, lalu berkata, “bawalah ia, demi Lata dan Uzza, seandainya harga tebusannya tak lebih dari satu ugia, pastilah ia akan kulepas juga!”
Abu Bakar tidak membiarkan maruah saudara seagamanya dipermainkan, lalu jawab beliau, “Demi Allah SWT, andaikata engkau tidak menjualnya kecuali seratus ugia, pastilah akan kubayar juga!”
Maka hiduplah Bilal sebagai orang yang bebas daripada perhambaan. Beliau menjadi pengikut Rasulullah SAW yang sangat taat dan setia. Beliau ikut berhijrah ke Madinah, dan dilantik sebagai Muazzin pertama Rasulullah.
Tahun kedua Hijrah, perang Badar pun tercetus. Umayyah Bin Khalaf turut menyertainya atas desakan Uqbah Bin Abu Mu’ith. Ketika peperangan hampir selesai, Umayyah dengan ketakutannya memohon perlindungan Abdur Rahman Bin Auf dan memohon menjadi tawanannya. Abdur Rahman bersetuju. Dalam perjalanan untuk membawa Umayyah ke tempat tawanan, ia terserempak dengan Bilal. Lalu Bilal pun berseru, “Ini dia! Tokoh kekufuran, Umayyah Bin Khalaf! Biarlah aku mati daripada orang ini selamat!”
“Hai Bilal, ini tawananku!” Seru Abdur Rahman. “Tawanan? Padahal pertempuran masih berkobar dan roda peperangan masih berputar?” Jawab Bilal. Setelah menyedari bahawa dia tidak dapat menembusi perlindungan Abdur Rahman terhadap Umayyah, Bilal pun dengan sekuat suaranya berseru kepada kaum muslimin, “Wahai pembela-pembela Allah! Ini dia tokoh dan pemimpin orang-orang kafir, Umayyah Bin Khalaf! Biar aku mati daripada dia terlepas!” Lalu datanglah sekumpulan kaum Muslimin, dan tewaslah Umayyah bersama-sama dengan anaknya dalam kepungan mereka.
Ketika pembukaan kota Mekah, Rasulullah SAW memasuki Ka’abah dengan bertemankan Bilal RA. Sebaik masuk, baginda berhadapan dengan sebuah patung yang dipahat, menggambarkan Ibrahim AS sedang berjudi dengan menggunakan anak panah. Rasulullah SAW sangat marah dan geram, sabdanya:
“Semoga mereka dihancurkan Allah SWT! Tidak pernah datuk nenek moyang kita melakukan perjudian sedemikian! dan Ibrahim AS bukanlah seorang Yahudi, bukan pula seorang Nasrani, tetapi seorang yang beragama suci dan seorang Muslim dan sekali-kali bukan dari golongan Musyrik!”
Rasulullah SAW menyuruh Bilal naik ke atas Ka’abah dan mengumandangkan azan. Sebaik Bilal melaungkan azan, menangislah para sahabat yang mendengarnya, begitu juga Rasulullah SAW. Setelah sekian lama rumah Allah yang dibina oleh Ibrahim AS, Ka’abah, dijadikan pusat berhala, kini kalimah Allah dilaungkan dengan begitu nyaring oleh Bilal, dan menghapuskan segala kesombongan musyrik.
Adapun orang-orang musyrik Mekah yang masih punya sifat perkauman, mereka berseru, “Tidak sangka kita hidup sehingga kita melihat gagak hitam ini naik ke atas Ka’abah.”
Orang-orang musyrik di rumah mereka masing-masing hampir tidak percaya dan tertanya-tanya:
“Inikah dia Muhammad SAW dengan orang-orang miskinnya yang tempoh hari terhalau dan telah meninggalkan kampung halamannya?”
“Betulkah dia seorang lelaki yang telah mereka halau dan musuhi serta mereka seksa kaum kerabatnya?”
“Betulkah dia, yang beberapa saat yang lalu nyawa mereka telah ada di tangannya, namun diberikan ampunan ke atas mereka dengan katanya, “Pergilah kamu sekalian, engkau semua adalah orang-orang yang bebas”?”
Demikianlah Rasulullah mencantas kesombongan Quraisy, yang mementingkan kemuliaan keturunan dan kabilah mereka, dengan menugaskan seorang budak hitam untuk melaungkan kalimah yang suci di atas Ka’abah yang dijadikan mereka pusat menyembah berhala! Dengan itu Rasulullah telah memenangkan persamaan taraf manusia sekalipun berbeza bangsa dan warna kulit. Keimanan adalah indikator kemuliaan. Bilal juga meruntuhkan berhala-berhala yang berada di sekeliling Ka’abah.
Ketika Rasulullah mula memasuki kota Mekah, baginda berseru:
“Hai golongan kaum Quraisy, Allah SWT telah melenyapkan dari kalian kesombongan Jahiliyyah dengan kebanggaan datuk moyang. Manusia adalah dari keturunan Adam dan Adam pula adalah dari tanah.”
Begitu mulianya kedudukan Bilal sehingga Rasulullah SAW mendengar terompahnya di dalam Syurga, ketika baginda melalui perjalanan Israk Mikraj. Ya, seorang yang dulunya hamba sahaya yang berkulit hitam, diberi khabar gembira dengan terdengarnya terompah beliau di dalam syurga!
Biarpun sebegitu mulia, kerendahan hatinya tetap menjadi sifatnya. Pernah beliau meminang dua orang wanita untuk dijadikan isterinya dan isteri saudaranya dengan katanya, “Saya ini bernama Bilal, dan ini adalah saudaraku. Kami berasal daripada hamba abdi berbangsa Habsyah. Pada mulanya kami berada dalam kesesatan, kemudian mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Dahulu kami sebagai hamba sahaya lalu dimerdekakan oleh Allah SWT. Jika pinangan kami tuan terima Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dan seandainya tuan menolaknya, Allahuakbar, Allah Maha Besar.”
Setelah kewafatan Rasulullah SAW, Bilal sangat bersedih hati sehingga beliau meminta izin daripada Abu Bakar untuk meninggalkan kota Madinah. Imam yang sangat dicintai para sahabat telah pergi meninggalkan mereka. Kata Bilal, “wahai Abu Bakar, aku mendengar Rasulullah SAW ada bersabda sepertimana berikut: “Amal orang mukmin yang paling utama adalah berjihad di jalan Allah.”" Beliau meminta izin untuk berjuang dan berperang di jalan Allah sehingga meninggal dunia. Abu Bakar melarangnya dan meminta ia tinggal dan menjadi Muazzin. Abu Bakar juga sangat mencintai Bilal dan tak mahu beliau pergi berjauhan daripadanya.
Lalu kata Bilal, “Seandainya tuan memerdekakan saya dulu adalah untuk kepentingan tuan, baiklah saya terima permintaan tuan. Tetapi bila tuan memerdekakan saya dulu kerana Allah SWT, maka biarlah diri saya ini untuk kepentingan Allah SWT, sesuai dengan maksud baik tuan itu.” Jawab Abu Bakar, “Tidak, hanya kerana Allah aku memerdekakan engkau hai Bilal.”
Lalu Bilal pun pergi ke syria dan menetap di sana sebagai pejuang dan mujahid. Ada pendapat mengatakan beliau hanya pergi ke sana setelah Abu Bakar meninggal dunia.
Ketika Umar datang ke Syria, saat Masjidil Aqsa baru sahaja dibebaskan, orang ramai mengambil peluang meminta Umar mengarahkan Bilal mengumandangkan azan. Tatkala Bilal naik ke menara dan melaungkan azan, segeralah Umar menangis dengan begitu keras, begitu pula sahabat-sahabat lain yang pernah bersama Rasulullah. Segera nostalgia bersama junjungan meresap ke jiwa dengan laungan azan Bilal.
Pernah suatu ketika beliau mimpikan Rasulullah, lalu segera beliau mendapatkan kenderaannya dan menuju ke Madinah. Tibanya di waktu subuh, ditakdirkan Muazzin terlewat untuk melaungkan azan. Lalu Bilalpun naik ke menara dan melaungkan azan. Sahabat-sahabat segera terjaga dan bercucuran airmata mengenangkan saat-saat bersama Rasulullah, “Apakah Rasulullah telah dibangkitkan?”
Saat sampai kepada seruan Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah, Bilal tak mampu menahan sebaknya. Beliau berhenti lama di situ sebelum menyambung laungan kalimah-kalimah azan.
Bilal Bin Rabah RA meninggal dunia di Syria dan dimakamkan di Damsyik. Demikianlah kisah seorang hamba sahaya yang begitu dekat dengan Rasulullah dan dimuliakan Allah. Berbahagialah wahai Bilal, namamu akan sentiasa mekar dalam jiwa Umat ini.
Belajar daripada Bilal:
Bilal termasuk dalam golongan As-Saabiquunal Awwaluun, golongan yang mula-mula menerima Islam. Maka kita harus mengikutinya dengan baik agar kita juga beroleh redha Allah. Firman Allah dalam surah At-Taubah, 9:100 yang bermaksud:
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.”
1. Keimanan harus dipertahankan dengan istiqomah, sepertimana pesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadith, “katakanlah aku beriman dan beristiqomahlah.” Begitu pula ditekankan Allah dalam surah Al-Fussilat, 41:30 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: “Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu.”"
2. Indikator kemuliaan adalah taqwa, bukan bangsa dan warna kulit. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-Hujuraat, 49:13 yang bermaksud:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
3. Menghargai perjuangan generasi awal Islam dengan menyebarkan Islam secara bersungguh-sungguh. Kita berada dalam zon yang selesa dan yang menghalangi kita daripada berdakwah adalah diri kita sendiri. Renunglah seksaan yang dihadapi generasi awal Islam, demi mempertahankan Islam sehingga kita hari ini menjadi Muslim. Hargailah keimanan ini, pertahankan ia hingga ke akhir hayat!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar